Wednesday, September 14, 2016

Kisah Mistik : Gadis Misteri di Kem Lama

Usai selepas tamatnya peperiksaan SPM, sambil mencari-cari kerja sementara sebelum keputusan keluar saya telah menyertai satu program anjuran Belia 4B di kawasan perumahan saya. Pada mulanya saya agak malas untuk menyertai tetapi apabila ajakan kawan setaman perumahan yang begitu bersungguh-sungguh. Saya akur dengan permintaan dan saya menyertainya bersama 2 rakan yang lain.

Hubungan saya, Eida, Cik Ha dan Anis bukanlah terlalu akrab tetapi kami mempunyai hubungan yang baik memandangkan umur kami yang tidak jauh berbeza serta lokasi rumah juga agak berdekatan. Dipendekkan cerita kem Belia kali ini diadakan di sebuah kem lama yang agak terbiar di daerah Pontian, Johor. Seramai 40 peserta lelaki dan perempuan telah menyertainya. Dan jadual aktiviti sememangnya padat dari hari pertama lagi.

Gambar ilustrasi semata-mata, dari carian Google

Dari pusat berkumpul sehinggalah ke kem penginapan mengambil masa lebih kurang 1 jam. Kami telah tiba dalam pukul 10 pagi tanpa ada sebarang kesulitan sepanjang perjalanan. Saya sebenarnya agak kecewa dan terkejut apabila pertama kali melihat keadaan kem penginapan tersebut. Dengan persekitarann seumpama kawasan terbiar, kekurangan fasiliti dan kedudukannya begitu hampir dengan hutan yang agak jauh dari rumah-rumah penduduk kampung di situ.

Sampai di destinasi, kami sudah diberi arahan untuk memasuki dorm (bilik yang mempunyai 4 katil bertingkat) yang boleh didiami seramai 8 orang dalam satu bilik. Saya, Eida, Cik Ha dan Anis memang sepakat untuk berada satu bilik bersama 4 orang rakan lain yang baru sahaja kami kenali di sana. Hakikatnya saya sudah lupa nama-nama mereka, tapi biarlah saya gelarkan mereka Lia, Umi, Mira dan Aisyah (bukan nama sebenar).

Bilik agak berbau kepam, biarpun tilam agak berbau tetapi yang kami tidak sanggup nak lalui ialah keadaan bilik air didalam kolah penuh dengan cacing halus. Bayangkan betapa teruknya fasiliti yang tidak terjaga di kem penginapan tersebut. Tapi saya anggap ini adalah satu cabaran untuk belia seperti saya, maka kami bersepakat untuk membersihkan segala ruang genap kawasan bilik tidur dan bilik mandi sehingga benar-benar bersih.

Gambar ilustrasi semata-mata, dari carian Google

Dan saya perasan didalam bilik air terdapat sebuah cermin lama. Biarpun nampak lama, tapi rangka cermin itu kelihatan begitu cantik (dibuat dari kayu jati). Cuma saya rasa agak pelik bila melihat cermin tersebut biarpun jasad rangkanya seperti barangan lama tetapi ianya tetap nampak bersih (tiada habuk) jika dibandingkan dengan keadaan bilik dorm ketika kami pertama kali melangkah masuk.

Selesai sahaja mengemas dalam tempoh sejam kami diminta untuk berkumpul di dewan makan. Kawasan makan ini juga agak kecil, dan kelihatan sekumpulan pekerja katerer seolah-olah baru sampai dan masukkan premis yang kami berkumpul. Kedengaran juga bunyi suara merungut seolah-olah kurang senang dengan keadaan dewan makan yang memerlukan berada di situ selama 4 hari 3 malam lamanya.

Penerangan dan peringatan oleh pegawai kem yang bertugas. Saya masih ingat lagi amaran beliau tentang kawasan yang kami duduki.

Gambar ilustrasi semata-mata, dari carian Google

“Kem ini lama dah ditutup. Sebab itu kamu nampak ianya penuh bersawang dan kotor. Untuk pengetahuan semua, kem ini dulunya asal sebuah sekolah pondok yang telah ditarik balik pengiktirafannya atas sebab-sebab yang tidak diketahui. Jadi, peluang saya membawa kamu semua ke sini dan berkursus sambil melakukan aktiviti bagi memulihkan kembali keadaan suram kem ini setelah lama tidak dihuni. Kamu perlu berdisiplin sepanjang aktiviti dijalankan. Tidur WAJIB pukul 10 malam, tidak boleh lewat. Jangan ambil dan guna barang yang bukan hak milik kamu terutama barang asal yang terdapat di kawasan kem. Jangan bercakap celupar. Jangan riak dan takbur. Bagi perempuan yang uzur, kamu perlu sentiasa bersih dan jaga kebersihan barangan kamu. Semua yang bersolat WAJIB solat..”Dan banyak lagi sebenarnya.

Dan pada hari pertama, satu aktiviti telah direncanakan yang mana beberapa remaja dari kawasan tersebut serta berdekatan telah hadir dan menyertai program kami di situ. Yang membezakanya hanyalah mereka tidak perlu menginap di kem. Selepas aktiviti tamat mereka akan pulang ke rumah masing-masing. Jadi kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan, dan setiap kumpulan mempunyai ahli yang terdiri dari kalangan remaja dari kawasan kampung tersebut.

Kisahnya bermula dalam satu kumpulan yang disertai oleh Lia, ada seorang remaja dari kampung berdekatan membuka cerita kisah di sebalik kem terbiar tersebut. Menurutnya, kem ini memang sebenarnya adalah sekolah pondok yang diasaskan oleh seorang pengamal ajaran sesat (katanya). Pada mulanya sekolah pondok ini mendapat sambutan dikalangan penduduk di situ. Tetapi lama kelamaan ianya semakin sunyi dan pelajarnya kebanyakan terdiri dari orang-orang luar. Ini memandangkan penduduk kampung mula merasakan sesuatu yang tidak betul tentang sekolah pondok tersebut. Namun, tiada siapapun yang mengambil peduli dan tahu tentang aktiviti sekolah itu. Bahkan guru mengajarnya jarang benar bergaul dengan penduduk kampung.

Katanya lagi…
“Ada orang cerita, tak tahu betul atau tidak. Berhampiran dengan kem ini ada kubur. Tapi tak pasti betul atau tidak. Orang kata kubur tak bertuan yang dibuat pemujaan. Sebab ada pernah orang kampung nampak, setiap hari Khamis malam Jumaat, ada bacaan laungan seakan berzanji (wirid agak pelik), dan kelihatan beberapa orang pelajar duduk di kawasan seperti kubur dengan memakai tali di kepala warna kuning. Ada bau kemenyan juga”.

Yang lagi pelik. Pernah ketua kampung disitu didatangi seorang perempuan agak berusia menangis-nangis meminta pertolongan darinya untuk menarik balik anak perempuannya dari menyertai sekolah tersebut. Bertambah lagi peliknya, ketua kampung hanya balik seorang diri biarpun asalnya beliau pergi bersama mak cik tadi. Sejurus kembali, ketua kampung tersebut hanya membatukan diri. Tidak mengeluarkan sepatah perkataan. Cukup seminggu, ketua kampung mula bercakap seorang diri, berhalusinisasi dan mengalami simpton lelaki terlalu nyanyuk. Biarpun usianya ketika itu dalam 40 tahun lebih. Atas sebab kesihatan, keluarga beliau telah berpindah ke mukim lain dan ketua kampung baru lain dilantik. Ada juga yang bercerita yang rumah ketua kampung juga seperti diganggu, contohnya bunyi derapan kaki atas bumbung, pintu depan rumah diketuk bertalu-talu, wajah lelaki tua di kamar mandi dan banyak lagi. Cerita hanya tergantung di situ.

Sekembali dari perbincangan dalam kumpulan. Kawan dorm kami Lia membuka cerita mengenai kisah yang didengarinya tadi. Marah betul saya ketika itu, memandangkan hari pertama kami berada di sini sudah ditakutkan dengan cerita-cerita sebegini. Saya memang tidak mahu mengambil pusing tentang segala cerita seram yang disampaikan. Biarpun kawan-kawan lain bersungguh-sungguh berbincang dan bercerita perkara tersebut.

Saya terlena. Mungkin terlalu penat perjalanan dan juga keadaan yang perlu kami berhempas pulas di siang hari. Saya terasa seseorang menggerakkan tubuh saya. Kaget juga saya biarpun sedang mamai saya gagahi juga membuka mata sambil mengerling jam di telefon Nokia 3310 di sebelah bantal yang menunjukkan jam 4.10 pagi. Cik Ha rupanya. Dia bisik ke telinga saya. “Aku nak tidur dengan kau. Tiba-tiba aku rasa seram.” Saya mengesot sedikit dan memberikan beliau sedikit ruang untuk tidur bersebelahan saya.

Gambar ilustrasi semata-mata, dari carian Google

Dalam 6.oo pagi saya dikejutkan dengan bunyi siren yang mana semua peserta kem perlu bangkit untuk solat subuh berjemaah. Saya bangun dan belakang badan saya terasa lenguh bisa-bisa. Ketika saya memaling muka ke sebelah, Cik Ha tidak kelihatan. Tapi saya dapat lihat Cik Ha tidur bersama kawan saya Hanis dan Eida. Siap rapat katil lagi. Hanya saya seorang yang terasing di katil bertingkat itu. Yang lain-lain berhimpit dengan 2 katil yang digabungkan. Penuh bahagian atas dan bawah. Saya diam bergegas ke bilik air berebut-rebut dengan rakan lain untuk pergi bersolat.

Selesai solat, kami hanya punyai masa 15 minit untuk bersiap sebelum ke aktiviti seterusnya. Jadi kami membuat keputusan untuk mandi serentak (secara berkemban). Ketika saya menjirus air ke badan, Cik Ha tegur saya. “Wehhh kenapa kat belakang badan kau, macam lebam-lebam hitam ni. Siap ada garis cam kena cakar pun ada”. Saya memang terasa pedih sikit di bahagian belakang tapi tidaklah menyangka ada lebam. Mungkin juga sebab saya berhempas pulas membersih, menyebabkan badan saya sakit sehingga sampai kelihatan lebam, sangkaan saya ketika itu. Saya terus mengusik Cik Ha, “Dah kau tidur sebelah aku ganas sangat apesal. Dahlah tilam tu kecik, sampai sakit-sakit belakang aku kau tolak”

Terus ekspresi muka Cik Ha berubah dan dengan spontan beliau menjawab “Bila pula aku tidur sebelah kau. Aku dari semalam malam tidur kat tengah-tengah dekat katil yang kitaorang rapatkan”.

Saya diam. Membatu dekat situ. Malas nak fikir, cepat-cepat saya habiskan mandian dan bersiap sedia untuk ke acara aktiviti seterusnya. Pagi itu kami diberi arahan untuk menyediakan satu persembahan untuk malam ketiga (malam terakhir). Jadi setiap kumpulan perlu memikirkan bentuk persembahan apa yang boleh dilakukan dan ianya adalah pertandingan. Dan kami dibenarkan berlatih selepas isyak, tetapi harus ditamatkan latihan sebelum pukul 10 malam. Cuba bayangkan dalam tempoh satu jam lebih sahaja yang diperuntukkan yang sememangnya setiap kumpulan begitu tertekan dengan masa latihan yang diperuntukkan

Aktiviti siang hari adalah yang seperti ceramah kepimpinan,kerja berkumpulan. Dan saya perasan Lia sering duduk keseorangan dan bercakap sendiri. Keadaan beliau bukan hanya saya sahaja sedari bahkan Cik Ha dan Ieda juga perasan perkara yang sama. Tiba waktu makan tengahari, ketika kami kembali sebentar ke dorm. Ieda bertanyakan dengan Lia, kenapa beliau suka bersendiri dan membebel sengsorang. Lia agak terganggu dan marah juga dengan Ieda dengan pertanyaan itu. Terus Lia menjerit kendengaran seperti makian juga di telinga saya ‘Weiii perempuan gemuk, aku borak dengan kawan akulah. Memanglah ko tak kenal dia budak kampung ni. Yang kau sibuk sangat kenapa. Kau ingat aku gila cakap sorang-sorang’..

ALLAH..terkelu saya dan rakan-rakan yang ada dalam dorm ketika itu. Karektor Lia yang mula-mula kami kenal 360 darjah tidak sama. Lia ini kalau ikutkan beliau agak lemah lembut, pendiam dan penakut. Tetapi kali ini beliau nampak lebih bengis dan garang. Pujuk hati saya ketika itu, siap saya bersangka baik lagi, mungkin ini adalah karektor beliau sebenar-benarnya dan mungkin juga beliau sedang stress.

Bermula waktu solat Zohor hari itu, Lia tidak lagi bersolat. Pelik juga. Kami diamkan sahaja. Waktu asar, salah seorang dari kami mengajak beliau untuk bersolat sama. Tetapi Lia merengus dan terus masuk ke dalam bilik air. Dan beliau bersiul-siul kecil didalam bilik tersebut.

Dikalangan kami, Anis adalah antara yang paling berani sekali. Biarpun jenis yang tidak bercakap banyak tetapi Anis ini macam pandai baca karektor dan boleh mengkaji perangai seseorang. Anis ada meluahkan perasaannya tentang Lia kepada kami. Katanya beliau dapat rasakan yang kita nampak itu bukan Lia yang sebanrnya. Memang suspen. Tetapi memandangkan kami hanya perlu berada di kem ini selama tempoh 3 malam sahaja, jadi kami hanya mendiamkan perkara ini sesame ahli bilik sahaja.

Malam kedua kami tidur di situ. Lia meminta saya bertukar katil dengannya. Katanya beliau mahukan sedikit privasi. Saya dengan gembiranya menerima permintaan beliau. Ini kerana saya dapat rasakan tidur bersama rakan-rakan dalam keadaan berhimpit lebih rasa selamat. Saya tidur paling hujung rapat ke dinding. Manakala Anis hujung sebelah sana, Cik Ha dan Ieda berada ditengah-tengah. Bersempit-sempit kami di ruang katil bawah. Di katil atas ada 3 rakan lain yang turut tidur bersempit. Hanya Lia yang tidur keseorangan di katil yang lagi satu. Sebuah lagi katil dibiarkan tidak berpenghuni.


Gambar ilustrasi semata-mata, dari carian Google

Saya tidak sedar pukul berapa ketika itu. Tetapi kedengaran pintu bilik air berkuak seolah dibuka untuk dimasuki sesorang. Saya pura-pura tidur dan hakikatnya saya telah memaksakan diri untuk tidur setelah secara tiba-tiba terjaga. Kedengaran suara perempuan bersiul-siul kecil. Kemudian, kedengaran seperti bacaan wirid ataupun seumpama mentera yang sangat laju bunyinya. Saya terus memeluk kawan yang baring disebelah. Saya tidak ingat siapa, tetapi rasanya Ieda. Terasa tangan beliau juga memegang tangan saya dengan kuat. Kemudian suara didalam bilik air itu tidak kedengaran. Bunyi pintu terkuak, kedengaran tapak kaki berjalan menghampiri katil yang ditiduri oleh Lia. Dan saya dapat merasakan perempuan yang ke bilik air itu tadi adalah Lia. Saya sememangnya tidak selesa, sentiasa memusingkan badan ke kiri dan ke kanan. Dan pada satu ketika postur badan saya berbaring tengah yang mana muka menghadap di atas. Saya secara tiba-tiba automatik membuka mata kerana terasa ada hembusan di wajah. Terus saya menjerit kuat Allah kerana terlalu terkejut wajah Lia betul-betul di hadapan muka. Cuba bayangkan dalam posisi saya baring ketika itu, kelihatan wajah seseorang di depan mata. Jeritan saya itu mengejutkan rakan-rakan bersebelahan.  Anis bangkit dan terus membuka lampu dorm kami. Saya tidak membuka cerita tetapi sempat mengerling katil yang dihuni Lia, dan beliau ada di situ. Tanpa bercerita panjang, kami terus mengambil  keputusan untuk lampu terus dibiarkan pasang menyala sehingga pagi.

Seperti biasa siren mengejutkan kami di waktu subuh. Dan yang peliknya Lia tiada di katil. Bertambah pelik, cermin di bilik air ada cebisan kain kuning diikatkan pada ruang penggantung dan cermin tersebut. Yang mana kami memang pasti cermin itu tidak memiliki kain itu sebelum ini. Selesai solat dan sarapan. Kelibat Lia juga tidak kelihatan. Kami ada bertanyakan juga kepada peserta kem lain dan masing-masing memberi jawapan yang sama, ‘tidak nampak. Kali terakhir malam semalam sebelum masuk tidur ke dorm masing-masing’. Akhirnya kami membuat keputusan untuk melaporkan kehilangan misteri Lia kepada pihak urusetia. Salah seorang pegawai kem disitu menasihatkan kami, untuk tidak memperbesarkan hal bagi mengelakkan peserta kem lain berasa terlalu bimbang dan memikirkan perkara yang bukan-bukan. Sebenarnya ketika itu, saya benar-benar ingin menceritakan segala kejadian aneh yang berlaku tetapi terasa begitu berat mulut untuk menceritakan memandangkan pegawai kem berkali-kali pesan dengan kami untuk tidak terlalu bercerita tentang perkaran seram yang boleh menjadikan emosi kami lemah dan tidak berani.

Pada asalnya kami akan akan melakukan aktiviti jungle trekking pada petang tersebut. Tapi secara tiba-tiba agenda aktiviti bertukar yang mana kami dibenarkan untuk berlatih bagi persediaan persembahan malam terakhir. Namun, kami yang tinggal dalam satu dorm telah dipanggil oleh pihak urusetia ke dewan makan. Di sini, kelihatan bukan sahaja urusetia bahkan 4 orang yang berwatakkan seperti ustaz menanti kami di situ.

Soalan pertama yang diutarakan kepada kami. Bila berlakunya keadaan pelik yang terjadi Lia. Pada asalnya kami berpendapat sejak Lia bersiul dalam bilik air. Tetapi apabila salah seorang kawan kami membuka cerita yang Lia sebenarnya berubah setelah berbaik dengan salah seorang remaja di kampung itu dan kami yang lain sememangnya tidak menyangkalnya. Selepas itu, Cik Ha dan saya diarahkan untuk mencari dan memanggil remaja tersebut untuk berjumpa urusetia di dalam dewan makan. Kami pergi ke tempat latihan kumpulan Lia. Dan alangkah terkejutnya apabila kami diberitahu kumpulan mereka cuma ada 2 orang ahli dari kampung tersebut sejak hari pertama lagi dan mereka tidak pernah berbual mesra dengan Lia. Dan seingat saya Lia pernah bercerita kawannya perempuan tetapi 2 ahli kumpulan dari kampung tersebut adalah lelaki. Bertambah lagi kami keliru apabila semua ahli kumpulan Lia juga menyatakan yang Lia tidak pernah menyertai perbincangan tetapi beliau lebih suka duduk di satu sudut sambil bercakap seorang diri. Ini sepertimana yang biasa kami nampak keadaan Lia sepanjang aktiviti dijalankan.

Persoalannya siapakah remaja perempuan yang berasal dari kampung tersebut yang telah menceritakan segala sejarah kem tersebut kepada Lia?

Yang dikatakan sering bersama Lia?

Bertambah lagi kami pening, dimana Lia sekarang berada?

Saya dan Cik Ha kembali ke dewan dan menceritakan segala perkara yang kami tahu. Ustaz meminta untuk dibawa ke dorm kami menginap. Dan perkara ini diserahkan kepada pihak urusetia dan kami yang lain perlu ke kumpulan masing-masing untuk menyertai sesi latihan. Petang itu juga kami dikhabarkan ustaz-ustaz bersama beberapa pegawai kem telah membuat tinjauan secara menyeluruh di kawasan kem penginapan kursus kami itu.

Selesai aktiviti petang ketika kami bersiap-siap untuk solat maghrib, kami diarahkan untuk berpindah ke dorm lain. Kali ini dorm yang lebih luas dan berkongsi dengan dua orang urusetia perempuan di situ. Di sana sudah kelihatan Lia didalamnya, beliau sedang tidur. Nampak beliau begitu letih. Kami diberi isyarat pegawai di situ untuk tidak bertanyakan sebarang soalan mengenai Lia.

Gambar ilustrasi semata-mata, dari carian Google

Malam itu adalah malam terakhir. Malam yang mana kami setiap kumpulan akan membuat persembahan dihadapan peserta yang lain. Kumpulan saya telah memilih persembahan pentomin. Sketsa yang tiada suara cuma ada pencerita. Tibanya pada persembahan ketiga, yang mempersembahakn tarian kuda kepang. Ketika itu malam masih muda, rasanya dalam pukul 9 lebih. Sedang mereka rancak membuat persembahan, dengan hanya menggunakan paluan tin-tin dan baldi. Serta penarinya hanya menggunakan pelepah kelapa yang diibaratkan seperti kuda. Tiba-tiba salah seorang penonton di situ jatuh berguling-guling. Kami penonton disitu menjadi panik. Tetapi ketua dalam persembahan tersebut memberi isyarat kepada ahli-ahlinya untuk teruskan persembahan. Saya pelik juga, sebab nampak keadaan seperti tidak terkawal, seolah penonton yang berguling itu terkena rasukan. Cuba bayangkan bagaimana seseorang itu boleh berguling-guling seolah ianya digulingkan oleh seseorang. Tapi persembahan diteruskan. Ok, yang paling saya macam kagum dan rasa pelik. Ketika bunyi muzik diteruskan, ketua dalam kumpulan tersebut beberapa kali melibas-libas lantai dengan cemeti. Setiap kali beliau melibas cemeti ke tanah semakin teruk penonton yang dirasuk tersebut berguling. Dalam tempoh tersebut seorang penonton turut lagi rebah dan berguling sama. Keadaan ini berhenti apabila muzik habis dimainkan, maknanya persembahan telah tamat. Dua peserta kem yang berguling seakan sedar dan kelihatan mereka begitu penat. Saya tidak tahu apa yang terjadi tapi kelihatan ketua dalam persembahan tersebut membaca sesuatu  ditiupkan dalam air dan beliau dikelilingi pegawai kem sejurus kejadian itu.

Acara persembahan untuk malam tersebut dihentikan. Kiranya persembahan tarian kuda kepang itu menjadi persembahan terakhir. Untuk persembahan kumpulan seterusnya dibatalkan atas sebab-sebab yang kurang jelas. Kami semua diminta ke bilik masing-masing dan diarahkan untuk tidur awal memandangkan esok seawal pagi kami akan berangkat pulang.

Berada didalam dorm baru ini, kami telah diberikan doa ini.



Maksudnya:
Aku memohon pertolongan dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna,dari kemurkaan dan azab-Nya,daripada kejahatan hamba-Nya dan hasutan syaitan dan daripada syaitan mendekatiku..

Kami juga diarahkan untuk membaca 4 Qul sebelum tidur dan tidak dibenarkan untuk bercerita atau berkata apa sahaja mengenai kejadian pelik sepanjang berada didalam kem tersebut. Malam tersebut kami tidur nyenyak tanpa sebarang gangguan. Oh ya! Lia sudah tidak ada di dorm pada malam tersebut saya dikhabarkan beliau telah dihantar pulang malam itu juga.

Keesokkannya kami bertolak balik tetapi sebelum saya menaiki bas, sempatlah saya Ieda, Anis dan Cik Ha melalui dorm yang kami duduki ketika pertama kali sampai disitu. Kelihatan dihadapan pintu sudah ada notis tidak dibenarkan masuk dan kami dapat rasakan sesuatu yang pelik ketika melepasi kawasan tersebut. Seolah ada bayangan mata yang sedang memerhati di celah-celah cermin tingkap.

Perjalanan selama 2 jam berakhir dengan selamat. Tibanya ke destinasi, 2 urusetia perempuan yang sebilik kami pada malam terakhir mengajak kami minum bersama dulu sementara menanti penjaga datang menjemput kami pulang. Dan sebenarnya, saya dan rakan-rakan menumpang ayah Cik Ha, jadi Cik Ha sudah berpesan dengan ayahnya terlebih dahulu untuk tidak datang menjemput kami  terlalu awal.

Gambar ilustrasi semata-mata, dari carian Google

Cerita mistik A-Z terungkai disini. Rupanya yang dikatakan kawan Lia yang bercerita kepadanya itu tidak wujud. Tidak ada nama peserta jemputan seperti yang diberitahu oleh Lia setelah beliau ditanya berasak kali ketika mereka menjumpai Lia setelah hilang lebih dari 4 jam. Dan Lia ditemui di bawah pokok pisang yang tua tidak berbuah begitu dekat dengan kawasan dorm lama kami. Tetapi yang hairannya dalam tenpoh 4 jam mereka mencari, akhirnya setelah salah seorang ustaz membaca satu doa (saya lupa doa apa), baru Nampak kelibat Lia di situ dengan keadaannya dirinya yang bau wangi (bau bunga kemboja) tetapi sedang menangis. Pertama kali mereka berjumpa Lia, beliau tidak boleh memberi respon atau berkata-kata dan apa yang beliau mampu hanyalah menangis tersedu-sedu sambil arah bola mata hanya melihat hujung ibu jari kaki kanan. Salah seorang ustaz tersebut, memicit ibu jari kanan Lia sambil membaca satu potongan ayat sebanyak 3 kali. Dan kaki jari Lia yang ada kelihatan kehitaman mula nampak kemerahan. Lia berhenti menangis dan beliau mengadu penat. Namun sebelum beliau dibawa untuk tidur di dorm baru, ustaz tersebut berasak-asak bertanyakan tentang apa sebenarnya yang terjadi.

Gambar ilustrasi semata-mata, dari carian Google

Lia mengaku, pertama kali beliau sampai di kem tersebut. Beliau telah mengelap cermin yang terdapat didalam bilik air. Beliau tiba-tiba rasakan perasaan yang begitu bahagia dan terlalu gembira. Sejurus beliau melihat mukanya dicermin tersebut seakan ada bayangan lain tetapi dia begitu taksub melihat wajahnya di cermin tersebut. Kemudian rakan-rakan lain memasuki bilik air tersebut dan mula membersihkan kolah dan lantai didalam bilik itu. Patutlah saya perasan cermin di situ sahaja kelihatan bersih dan baru rupanya telah dicuci terlebih dahulu oleh Lia. Masa semua orang bersiap-siap keluar ke dewan makan untuk sesi pengenalan beliau disapa oleh seorang gadis berlitup dengan kain hitam dan mengajaknya untuk berjalan sama. Saya tidak ingat nama gadis yang diberitahu oleh Lia kepada urusetia. Tetapi gadis tersebut mengaku berasal dari kampung tersebut dan bercerita begitu banyak kisah tentang sejarah asal kem tersebut iaitu sekolah pondok lama. Mereka menjadi rapat katanya Lia lebih senang menghabiskan masa bersama remaja tersebut berbanding perbincangan bersama ahli kumpulan yang lain. Masalahnya hanya Lia seorang sahaja yang nampak gadis misteri tersebut.

Gambar ilustrasi semata-mata, dari carian Google

Dan saya juga dikaitkan dengan kemarahan gadis itu memandangkan saya sentiasa merungut tentang keadaan dorm tersebut. Dan juga cara pandangan kepelikan saya terhadap cermin didalam bilik air tersebut menyebabkan gadis itu memang geram dengan saya. Mungkin sebab itu mengapa kelihatan lebam di badan saya dan kelibat muka Lia di betul-betul hadapan saya ketika saya berbaring hari itu. Kejadian rasukkan ketika persembahan juga ada dikaitkan dengan Lia. Walaupun ada yang mengaitkan tentang naik syeikh kerana terpukau dengan alunan muzik kuda kepang. Saya juga dipahamkan, persembahan perlu diteruskan dan tidak boleh diberhentikan sehinggalah muzik selesai. Jika ianya diberhenti secara tiba-tiba mereka yang dirasuk menjadi lebih teruk.  Ianya juga dikaitkan roh gadis yang berdendam itu marah kerana pihak urusetia telah menghantar Lia untuk pulang ke rumahnya. Dan saya dipahamkan Lia terus dihantar untuk berubat untuk memutuskan segala hubungan dengan roh gadis ini.

Kami juga diberitahu, ustaz yang membantu Lia disitu dapat berkomunikasi dengan roh gadis tersebut sebenarnya dalam keadaan marah, keliru dan dendam. Atas sebab-sebab yang tidak diketahui punca. Tapi setelah mendengar cerita dari Lia, menggambarkan seolah arwah gadis ketika bersekolah disana telah dirosakkan hidupnya sehingga beliau bertindak membunuh diri ataupun dibunuh. Ini kerana tidak ada bukti yang kukuh, tidak ada siasatan polis dan sebagainya. Cuma ianya andaian-andaian berdasarkan bukti yang tidak jelas.

Kejadian mistik dan pelik ini masih saya ingat sehingga sekarang dan untuk saya kembali ke tempat itu mengembalikan memori lama, mungkin tidak sekali.

Waima saya tidak mahu lagi hidup ini diselubungi misteri kisah mistik.
*************
Ini adalah kisah misteri saya, bagaimana dengan kisah uolls pula. Pasti lagi menarik dan lebih seram bukan. Oh ya! kalau uolls berminat nak kongsikan cerita seram yang pernah dialami ataupun kisah-kisah seram yang pernah dengar (menjadi lagenda) bolehlah uolls tulis kisah tersebut di laman blog memasing dan seterusnya menyertai perduan di Blog Framestone--http://www.broframestone.com/2016/09/bloggers-contest-filem-volkswagen-kuning/


Terdapat hadiah istimewa menanti buat kisah seram paling menarik!
Peraduan yang dianjurkan juga adalah atas kolaborasi antara Bro Framestone dan pihak MIG dalam mempromosikan filem terbaru mereka iaitu Volkswagen Kuning. Filem yang bakal ditayangkan pada 22 September 2016 ini bergenre seram pasti menyebabkan anda yang menontonnya tidak senang duduk dari mula cerita sehingga pengakhirannya.





FILEM : Volkswagen Kuning 
GENRE : Seram 
TERBITAN : MiG Picture Sdn Bhd 
PENGARAH : Shadan Hashim 
PELAKON : Pekin Ibrahim, Atikah Suhaimie


SINOPSIS:
Fuad(Pekin Ibrahim) dan Sarah (Atikah Suhaimie) ini adalah pasangan yang baru sahaja bertunang. Semasa perjalanan ke kampung, mereka telah sesat dan mengalami ganguan untuk mencari kedai makan dimana ganguan itu telah menyebabkan Fuad ditahan dalam wad akibat mengalami kemalangan.

Namun Sarah tidak mengalami apa-apa kecederaan. Tapi tanpa di duga Sarah membawa balik 'sesuatu' bersamanya


Trailer tentang filem Volkswagen Kuning


Di kala malam menjelma..
Dendam kesumat membawa...

Misteri Volkswagen Kuning menghantui pengguna jalan raya....
Jangan dicabar, dia mencari, jangan salah pilih jalan, kekuatan emosi halangan segalanya!

#VolkswagenKuning #MiGOnline #VKBloggerReview #BlogRetis

2 comments:

Iena Eliena said...

seramnya,
iena pn pernah terkene ..suara perempuan mcm dtg berwirid tu
..mmg meremang bulu roma dgr

AyuArjuna BiGoshh said...

iena-...org kata suara langsuir..tak sure betul ke tidak huhu